Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Moscow) Russia Student Chapter

PPIM-MSC-->Blog ini ditubuhkan pada 18 Mac 2006 'Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.' Muhammad:7

Sunday, August 27, 2006

..:: INGIN KE PALESTIN?? ::..


INGIN KE PALESTIN?

Di antara sms, emel dan juga YM yang sering saya terima ialah "Bagaimana saya boleh pergi ke Palestin untuk berjihad?". Bukan seorang dua, malah puluhan, jika tidak ratusan. Bukan hanya dari kalangan lelaki, malah juga dari wanita. Begitulah semangat jihad dan cintakan Islam yang ada di dalam jiwa rakyat Malaysia. Saya yakin, jika dibenarkan rakyat Malaysia untuk pergi ke Palestin untuk berjihad, nescaya Masjid al-Aqsa sekali lagi akan menyaksikan kemunculan Salahudin. Hanya Salahudin kali ini bukannya berketurunan Kurdi, tetapi mungkin Salahudin Jawa dari Sungai Besar, atau Banjar Air Hitam ataupun Bugis dari Benut. Moralnya, Palestin dan Masjid al-Aqsa masih tetap dan akan tetap berada di dalam hati setiap Muslim.

Apa yang boleh saya lakukan untuk Palestin?, itulah soalan yang sering dikemukakan oleh ramai di kalangan para pemuda dan pemudi Islam. Sekadar menghadiri ceramah-ceramah, mengikuti perkembangan terkini dan juga menangisi syahid-syahid yang gugur dibunuh oleh tentera-tentera Zionis? Adakah itu sudah cukup?

Atau mungkin juga menghulurkan sumbangan, wang ringgit, gelang, cincin dan subang ke dalam tabung Palestin. Adakah itu sudah memadai?

Keluar berdemo, menandatangani memorandum bantahan dan juga memboikot barangan Israel dan AS. Sudah cukupkah itu semua?

Atau mungkin juga bangun di dua pertiga malam dan panjatkan doa kepada Allah SWT agar membantu para mujahidin dan mujahidah di Palestin. Adakah itu juga sudah cukup?

Saya yakin ratusan, malah ribuan dari kalangan para pemuda dan umat Islam kita mampu melakukan lebih daripada itu. Ramai di kalangan kita yang mengimpikan mati syahid seumpama mujahidin di Palestin. Syeikh Ahmad Yassin dan Dr Abdul Aziz al-Rantissi sudah cukup menjadi perangsang untuk umat Islam bangkit mengikuti jejak langkah mereka untuk bersama menuju ke syurga Illahi. Persoalannya. Adakah di sana punya ruang untuk rakyat Malaysia untuk berjihad di bumi Palestin?

Teringatkan kata-kata wakil kerajaan Palestin (HAMAS) yang datang ke Malaysia. Apabila beliau ditanyakan bagaimanakah caranya rakyat Malaysia dapat membantu saudara mereka di Palestin yang ditindas dan dizalimi, beliau menjawab:

"Anda semua tidak perlu pergi ke sana. Ianya amat membahayakan. Rakyat Palestin masih lagi cukup untuk membebaskan al-Aqsa. Kami telah pun mengorbankan nyawa, dunia dan keluarga kami untuk tujuan tersebut. Apa yang kami perlukan adalah sokongan berterusan anda dari segi material. Sekatan dan tekanan yang dikenakan ke atas kami amat payah. Kami perlukan bantuan anda agar kami dapat terus hidup dan terus berjuang. Selain daripada sumbangan material daripada anda, kami juga perlukan tekanan dari negara-negara Islam dan masyarakat antarabangsa ke atas rejim Zionis agar menghentikan sekatan yang zalim ini. Anda boleh mempengaruhi kerajaan anda dan juga masyarakat antarabangsa untuk melakukannya. Akhir sekali, doa anda semua yang ikhlas dan bersunguh-sungguh adalah bekalan kami di dalam perjuangan"


Ramai di kalangan kita yang mengimpikan mati syahid seumpama mujahidin di Palestin.


Ya, memang benar. Mereka perlukan bantuan kewangan dan material yang berterusan daripada kita untuk terus hidup. Bukanlah mereka mengemis, tetapi sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas mereka langsung mematikan ekonomi mereka. Mereka tidak berupaya untuk mengimport dan mengekspot mahupun melakukan apa-apa urusan dagang dengan pihak luar. Mereka hanya ada sebuah kerajaan untuk memerintah rakyat tanpa menguasai ekonomi serta jalan akses dan keluar daripada tanah air mereka sendiri. Tanpa sumber yang tetap, tanpa keupayaan untuk menjual hasil nasional mereka, bagaimanakah caranya untuk mereka akan dapat terus hidup?

Maka, sumbangan berterusan haruslah dilakukan. Janganlah hanya sekali sahaja menyumbang dan kemudian tidak menyumbang lagi. Nombor-nombor akaun pertubuhan yang menyalurkan derma telah pun anda miliki (atau layari laman web: www.palestinkini.info). Jadikan amalan anda pada setiap bulan untuk memasukkan sebahagian daripada gaji anda ke dalam salah satu akaun tersebut. Insha Allah, amalan yang berterusan, walaupun sedikit, nilainya amat tinggi di sisi Allah SWT. Yakinlah, walaupun seringgit yang anda sumbangkan, tetapi jika ianya berterusan, ianya akan mendapat tempat di sisi Allah SWT.

Berkenaan dengan doa pula. Doa yang pasti akan mendapat jawapan dari Allah adalah doa dari mereka yang ikhlas dan dari mereka yang dekat dengan Allah. Jika diri kita dipenuhi dengan maksiat dan kelalaian, ianya akan melambatkan jawapan kepada doa tersebut. Oleh yang demikian, usaha untuk menjauhi, mengurangkan dan meninggalkan terus maksiat perlulah dilakukan secara berterusan agar doa kita akan cepat mendapatkan jawapannya. Usaha untuk mengajak masyarakat dan orang lain untuk sama-sama meninggalkan maksiat dan mendekatkan diri kepada Allah SWT juga perlu diperhebatkan. Ramainya orang yang beriman dan orang yang salih berdoa akan mempercepatkan lagi jawapan dari Allah yang Esa.

Doa yang pasti akan mendapat jawapan dari Allah adalah doa dari mereka yang ikhlas dan dari mereka yang dekat dengan Allah


Mencari waktu yang sesuai untuk berdoa juga adalah penting. Sepertiga malam terakhir, di kala orang ramai nyenyak tidur merupakan waktu yang amat sesuai. Jika benar kita ingin berkorban, maka korbankanlah tidur kita untuk menghadap Allah SWT di waktu tersebut. Hadapkan diri kita dengan penuh keikhlasan, harapan dan pengharapan kepada Yang Maha Mendengar. Berdoalah secara bersungguh-sungguh.

Sunnah Rasulullah SAW di waktu peperangan juga janganlah ditinggalkan. Rasulullah SAW akan melakukan Qunut Nazilah di kala berlakunya peperangan dan kecelakaan ke atas umat Islam. Di Malaysia, sunnah ini jarang diamalkan. Demi mendapatkan kemenangan buat umat Islam, maka sunnah ini perlu dihidupkan semula.

Akhir sekali, usaha memperhebatkan kempen pungutan derma, menyebarkan kesedaran dan juga menyokong segala usaha berkaitan isu Palestin merupakan tanggungjawab kita semua. Kesemuanya akan menjadi bekalan kita untuk bertemu Allah SWT di akhirat nanti. Ianya akan menjadi jawapan jika Allah AWT bertanyakan kepada kita: "Apakah yang telah kita lakukan untuk menyelamatkan Masjid al-Aqsa ketika ia di ambanr keruntuhan?, Apakah yang kita lakukan ketika saudara mara kita di sana bertungkus lumus berusaha untuk memerdekakannya?, Apakah juga yang telah kita lakukan ketika saudara-mara kita dibunuh, disembelih dan juga dizalimi demi memerdekakan Masjid al-Aqsa..."

Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita semua! "

sumber : http://al-qayyim.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=3812

Tuesday, August 22, 2006

Ambil pengajaran daripada Isra' Mi'raj




Rasulullah saksikan 10 balasan bakal diterima wanita di akhirat nanti


Israk Mikraj mencatatkan peristiwa penting dalam kerasulan Nabi Muhammad SAW iaitu perjalanan Baginda dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis di Palestin serta dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit ketujuh.

Firman Allah bermaksud: "Maha suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya (dengan diturunkan nabi-nabi di negeri itu dan kesuburan tanahnya), agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Isra', ayat 1)

Peristiwa ini berlaku setahun sebelum hijrahnya Nabi SAW ke Madinah bersamaan tahun 721 Masihi. Ia berlaku di tengah-tengah tekanan dan hinaan yang kuat yang dialami oleh Rasulullah dan sahabat daripada kelompok Musyrikin Makkah seperti Abu Jahal dan Abu Lahab.

Israk Mikraj adalah satu perjalanan kilat Nabi Muhammad pada malam hari atas kudrat dan iradat Allah dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Baginda kemudian naik ke langit sampai ke Sidratil Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah (suatu tempat di mana alam ini diatur) dengan menembusi tujuh lapis langit, lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.

Kisah-kisah dalam peristiwa Israk dan Mikraj mengandungi sesuatu yang amat menakjubkan kerana ia tidak sama dengan cara perjalanan ditempuh oleh manusia biasa.

Perjalanan ini adalah perjalanan istimewa menggunakan kenderaan Allah yang kelajuannya tidak boleh ditandingi dengan apa saja kenderaan yang direka oleh manusia.

Dalam peristiwa itu Rasulullah SAW diperlihatkan kekuasaan Allah serta balasan yang bakal diterima umatnya di akhirat nanti. Firman Allah bermaksud: “Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad SAW) telah melihat (Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) pada waktu yang lain iaitu di Sidratil Muntaha. "Dekatnya ada syurga tempat tinggal, (Muhammad melihat Jibril) ketika Sidratil Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya.

"Penglihatan (Muhammad SAW) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. "Demi sesungguhnya Baginda telah melihat sebahagian daripada sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhan-Nya." - (Surah an-Najm, ayat 13-18).

Antara pengajaran dalam peristiwa itu ialah mengenai wanita. Dalam perjalanan Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW turut melewati satu kawasan berbau sungguh harum dengan bau-bauan kasturi. Lalu Baginda bertanya kepada Jibril kawasan apakah yang sedang mereka lalui.

Jibril menjawab: "Itulah makam Masyitah, seorang wanita penghulu syurga." Beliau ialah adalah pengasuh anak Firaun, pemerintah kejam di Mesir yang mengaku dirinya Tuhan. Masyitah berfizikal lemah, mempunyai semangat kuat dan jiwa keIslaman sehingga mampu menafikan keangkuhan Firaun.

Masyitah ialah pelayan raja. Beliau adalah seorang rakyat yang masih sedar dan beriman kepada Allah tetapi disebabkan kekejaman Firaun, beliau dan ramai lagi terpaksa menyembunyikan keimanan mereka.

Pada suatu hari, ketika Masyitah menyikat rambut puteri Firaun, tiba-tiba sikat itu terjatuh. Dengan tidak sengaja, beliau menyebut nama Allah.

Apabila puteri itu mendengar perkataan ‘Allah’, dia bertanya kepada Masyitah, siapakah Allah itu. Masyitah pada mulanya enggan menjawab tetapi selepas didesak berkali-kali, beliau akhirnya memberitahu bahawa Allah adalah Tuhan Yang Esa dan Tuhan Sekalian Alam.

Puteri itu mengadu kepada Firaun mengenai perkara itu menyebabkan Firaun terlalu marah apabila mengetahui Masyitah menyembah tuhan selainnya. Masyitah dipaksa Firaun memperakui dirinya (Firaun) sebagai Tuhan, tetapi dengan penuh keberanian beliau berkata: "Tuhan aku dan Tuhan kamu adalah Allah."

Perkataan itu menimbulkan kemarahan Firaun, lalu memerintahkan dibuat patung lembu daripada tembaga untuk diisi minyak bagi merebus Masyitah.

Menteri Firaun, iaitu Hamman, salah seorang penghuni neraka, diperintahkan Firaun untuk membunuh Masyita. Firaun memerintahkan patung lembu itu diletakkan di atas api sehingga panas menggelegak dan mengarahkan Masyitah dan ahli keluarganya dilontar seorang demi seorang.

Pada waktu giliran bayinya hendak dimasukkan ke dalam lembu itu untuk direbus, Masyitah hampir mengaku kalah dan menyerah kepada kemahuan Firaun kerana terlalu sayangkan anaknya. Tetapi dengan kehendak Allah, berlaku kejadian luar biasa apabila bayi itu dengan fasih berkata: "Wahai ibuku! Teruskanlah dan jangan menyerah kalah, sesungguhnya engkau di atas (jalan) kebenaran."

Masyitah dan keluarganya mempertahankan keimanan mereka dengan mengatakan Allah Tuhan Yang Esa dan Firaun hanya manusia biasa. Lalu semuanya syahid dibunuh Firaun.

Keberanian seorang wanita memperjuangkan kebenaran dan keimanan ini dirakam dan diingati setiap tahun oleh seluruh manusia melalui peristiwa Israk Mikraj.

Semua ahli keluarga Masyitah mendapat balasan syuhada daripada Allah kerana mempertahankan akidah sehingga mati.

Dalam perjalanan itu, Baginda turut diperlihatkan 10 jenis seksaan yang menimpa wanita yang membuatkan Rasulullah SAW menangis setiap kali mengenangkannya.
Dalam perjalanan itu, antaranya Baginda diperlihatkan perempuan yang digantung dengan rambut dan otak di kepalanya mendidih. Mereka adalah perempuan yang tidak mahu melindungi rambutnya daripada dilihat lelaki lain.

Seksaan lain yang diperlihatkan Baginda ialah perempuan yang digantung dengan lidahnya dan tangannya dikeluarkan daripada punggung dan minyak panas dituangkan ke dalam kerongkongnya. Mereka adalah perempuan yang suka menyakiti hati suami dengan kata-katanya.

Baginda juga melihat bagaimana perempuan digantung buah dadanya dari arah punggung dan air pokok zakum dituang ke dalam kerongkongnya. Mereka adalah perempuan yang menyusui anak orang lain tanpa keizinan suaminya.

Ada pula perempuan diikat dua kakinya serta dua tangannya sampai ke ubun dan dibelit beberapa ular dan kala jengking. Mereka adalah perempuan yang boleh solat dan berpuasa tetapi tidak mahu mengerjakannya, tidak berwuduk dan tidak mahu mandi junub. Mereka sering keluar rumah tanpa mendapat izin suaminya terlebih dulu dan tidak mandi iaitu tidak bersuci selepas habis haid dan nifas.

Selain itu, Baginda melihat perempuan yang makan daging tubuhnya sendiri manakala di bawahnya ada api yang menyala. Mereka adalah perempuan yang berhias untuk dilihat lelaki lain dan suka menceritakan aib orang lain.

Baginda juga melihat perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting dari neraka. Mereka adalah perempuan yang suka memasyhurkan diri sendiri supaya orang melihat akan perhiasannya.

Seksaan lain yang dilihat Baginda ialah perempuan yang kepalanya seperti kepala babi dan badannya pula seperti keldai. Mereka adalah perempuan yang suka mengadu domba dan sangat suka berdusta.

Ada pula perempuan yang Baginda nampak rupanya berbentuk anjing dan beberapa ular serta kala jengking masuk ke dalam mulutnya dan keluar melalui duburnya. Mereka adalah perempuan yang suka marah kepada suaminya dan memfitnah orang lain.

Sumber : http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Monday/Agama/20060820231038/Article/